ESEI



Keberkesanan Penggunaan Resos


                    Sebelum kita memembincangkan dengan lebih jauh mengenai isu penggunaan resos ini marilah kita terlebih dahulu mengungkap maksud ataupun takrif-takrif yang telah diberikan kepada resos ini.Resos merupakan bahan–bahan yang boleh digunakan untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran supaya menjadi lebih berkesan dan menarik. Atan Long (1982) berpendapat, bahan-bahan pengajaran dan alat bantu mengajar ada berbagai-bagai. Bahan-bahan itu mungkin dalam bentuk buku, carta atau slaid yang dipancarkan pada layar. Alat-alat yang menyokong penyampaian pembelajaran boleh ditakrifkan sebagai ‘alat bantu mengajar’. Umumnya, resos boleh dianggap sebagai sebarang bahan-bahan, objek, kelengkapan, model, rekaan, alat, gambar, carta, penerbitan atau sebarang kemudahan yang dapat menolong menambah atau memudahkan pembelajaran matematik. Resos boleh merujuk kepada segala benda dalam persekitaran luar pelajaran. Ini bermaksud resos merujuk kepada set ‘benda’ yang boleh digunakan untuk memajukan pengajaran dan pembelajaran matematik serta meningkatkan pemikiran matematik pelajar.



               Pendekatan pengajaran tradisi yang berasaskan “chalk and talk” tidak berapa menarik minat atau merangsang proses pembelajaran kerana tidak melibatkan kesemua panca indera terutama sekali dalam pembelajaran matapelajaran Matematik. Menurut Bruner pembelajaran adalah satu proses aktif di mana pelajar membina idea baru berdasarkan pengetahuan semasa atau lepas. Pelajar memilih dan mengubah maklumat, membina hipotesis, membuat keputusan bergantung kepada struktur kognitif untuk berbuat demikian.Menurut teori Konstruktivisme pula pembelajaran terbentuk hasil dari pembinaan pengetahuan berdasarkan pengalaman. Pembelajaran terbina hasil pencantuman maklumat dengan pengetahuan sedia ada. Pelajar yang belajar dan  berinteraksi dengan objek dan perkara-perkara dalam pembelajaran akan memahami apa yang dipelajari. Pelajar-pelajar akan membina sendiri konsep dan penyelesaian terhadap masalah yang diberi. Ini menunjukkan bahawa perlunya ada objek atau bahan-bahan bantu mengajar yang digunakan untuk menyokong sesi pembelajaran.



                       Resos memain peranan  serta banyak membantu dalam proses pengajaran. Resos mempunyai pelbagai fungsi yang boleh dimanfaatkan oleh guru untuk membuat pengajaran di dalam kelas. Matematik banyak melibatkan idea-idea abstrak lebih daripada objek. Implikasinya bahan resos jarang digunakan secara optimum seperti yang diharapkan. Sesuatu makna atau konsep abstrak tidak semuanya dapat ditafsir dan diterangkan melalui pengajaran langsung iaitu dengan menggunakan perkataan sahaja. Kebiasaannya, apabila seorang guru gagal menerangkan konsep matematik kepada murid secara berlisan, dia seharusnya mencari jalan inisiatif lain untuk mencapai matlamat tersebut. Di sinilah pentingnya penggunaan resos dalam pengajaran matematik.


                    Salah satu daripada fungsi resos adalah untuk membantu murid menemui konsep, prinsip dan kemahiran matematik. Kemahiran metematik merujuk kepada keupayaan seperti menggunakan laras bahasa matematik yang betul dan mengaplikasikan penaakulan matematik serta menggunakan matematik untuk memperihalkan dunia fizikal. Selain itu, resos juga berfungsi sebagai kaedah untuk mempelbagaikan strategi dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Guru sekolah rendah digalakkan mempelbagaikan kaedah mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik sekolah rendah. Guru boleh memilih pendekatan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan kebolehan murid. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bergantung pada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu belajar serta teknologi yang dapat merangsang dan menggalakkan murid berfikir secara kritis dan kreatif, inovatif, berkomunikasi, dan berinteraksi. 

   Memilih dan menyediakan resos yang sesuai bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif merupakan satu aspek yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik. Ini bagi memastikan segala bahan resos yang digunakan oleh guru mahupun pelajar dapat membawa manfaat dan kelebihan kepada kedua-dua pihak. Dengan penggunaan resos yang menarik dan sesuai, murid akan lebih berminat dan seronok untuk lebih memahami matematik. Untuk menarik perhatian dan menimbulkan minat murid-murid, bahan resos yang digunakan harus disediakan ciri fizikal yang sesuai seperti saiz yang tidak terlalu besar dan jelas. Faktor jarak antara pelajar dengan bahan resos yang digunakan juga perlu diambil kira. Jika resos yang digunakan terlalu kecil mungkin bagi pelajar yang duduk di bahagian depan kelas dapat melihat dengan jelas tetapi bagi pelajar yang duduk di bahagian belakang sudah tentu fokus padangan mata mereka sudah berkurangan. Ini akan menyebabkan mereka hilang tumpuan dan minat terhadap pengajaran guru di hadapan. 

                            Selain itu, bahan resos yang digunakan harus disediakan dengan menggunakan gambar atau imej yang berwarna- warni. Kajian berkaitan penggunaan warna di dalam penyediaan bahan resos juga telah dijalankan oleh Barry ( 1976, dalam Suzita Mohd Resad, 2002, m.s. 21). Hasil daripada kajian yang beliau jalankan, penggunaan gambar atau imej yang berwarna dapat meningkatkan pemahaman pelajar dan menyenangkan proses penyimpanan maklumat. 

                            Resos merupakan aspek yang sangat penting dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Ia akan membantu untuk meningkatkan kefahaman murid-murid dalam matematik. Memilih dan menyediakan resos yang sesuai adalah sangat penting bagi mewujudkan suasana yang kondusif bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran matematik. Seorang guru yang baik perlu sedar tentang peranan resos dalam meningkatkan pemahaman konsep serta pemikiran matematik murid-murid. Dengan penggunaan resos yang sesuai dan menarik, murid- murid akan lebih berminat dan seronok untuk belajar matematik. Resos boleh didapati dalam pelbagi bentuk seperti bahan bercetak, bahan manipulatif, dan juga pengajaran dan pembelajaran menggunakan perisian komputer serta teknologi maklumat dan komunikasi.

No comments:

Post a Comment